(gambar sekadar hiasan)
Soalan:
Salam. Boleh ustaz terangkan tentang hukum masturbasi? Isteri yang tak dilayan suami melakukan onani, apakah berdosa? Terima Kasih.
Jawapan:
Masturbasi atau Onani adalah perbuatan yang DIHARAMKAN di dalam Syarak, dalilnya adalah firman Allah S.W.T.:
Maksudnya: “(Orang-orang beriman yang berjaya itu, antara sifat mereka) Dan mereka yang menjaga kemaluan mereka melainkan kepada isteri –isteri dan hamba sahaya mereka, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu, maka mereka itu orang-orang yang melampaui batas.” (al-Mukmiun: 5 dan al-Maarij: 29)
Di dalam ayat ini Allah S.W.T. telah mengharamkan hubungan jenis (onani – berseronok dengan kemaluan) antara lelaki dan wanita melainkan jika hubungan jenis itu dilakukan antara suami dengan isterinya dan antara seorang lelaki dengan hamba sahayanya. Seterusnya Allah S.W.T. menyambung firman-Nya dengan menyatakan: “Sesiapa yang mencari selain daripada itu.” yakni melakukan hubungan jenis (berseronok dengan kemaluan) selain daripada sesama suami isteri atau antara lelaki dengan hamba sahayanya, maka dia termasuk orang-orang yang melampaui batas. Dari ayat ini, kita dapat memahami termasuk hubungan jenis atau cara berseronok dengan kemaluan dengan cara onani atau masturbasi itu termasuk perkara selain berseronok sesama suami isteri atau antara lelaki dan hamba sahayanya. Dan onani ini termasuk perbuatan mencari jalan berseronok dengan kemaluan melalui cara yang melampaui batas.
Oleh kerana itu Nabi S.A.W. telah menunjukkan cara melemahkan nafsu syahwat bagi orang yang tidak mampu berkahwin dengan berpuasa, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Wahai sekelian orang muda, sesiapa di kalangan kamu yang ada kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, sesiapa yang tidak ada kemampuan, maka hendaklah dia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu berperanan sebagai perisai untuknya (daripada syahwat).”
Maka isteri yang tidak dilayan suami, saya mencadangkan dua cara untuk dia menyelesaikan masaalahnya:
1. Berbincang dengan suaminya dengan cara yang baik
2. Banyakkan berpuasa untuk mengekang nafsu syahwatnya.
Bagi suami pula yang mengabaikan tanggungjawabnya, atau yang tidak memberikan hak isterinya yang ada padanya kita menasihatkan:
“Takutlah anda kepada Allah S.W.T. terhadap hak isteri anda yang ada pada anda, termasuk hak isteri ke atas suami itu ialah melunaskan tuntutan nafsunya dengan cara yang dihalalkan oleh Allah S.W.T.”
Adapun kepada isteri tadi yang diabaikan haknya oleh suaminya, jika keadaannya tertekan dan dia bimbang jika keadaan itu berterusan akan mencampakkannya melakukan perkara maksiat yang lebih besar. Yakni dalam ertikata dihadapannya terdapat banyak jalan mudah untuk melakukan maksiat, maka berdasarkan kaedah? “Kemudharatan itu membolehkan perkara yang dilarang”, maka Imam Ahmad telah mengharuskan onani atau masturbasi bagi mengambil mudharat yang lebih ringan.
Namun dalam masa yang sama, kami tetap menasihati para isteri yang dimaksudkan untuk dia mengamalkan langkah-langkahpencegahan daripada onani dan yang lainnya seperti bawah ini:
- Perbanyakkan berpuasa.
- Menjauhi dari perkara-perkara yang dapat merangsangkan nafsu seperti menonton filem, membaca majalah dan perkara-perkara lainnya yang semua kita dapat mengetahui rangsangannya terhadap nafsu.
- Bersahabat dengan orang-orang yang baik atau soleh.
- Banyakkan membaca al-Quran atau mendengar bacaannya sambil memerhatikan maksudnya.
- Banyakkan berzikir kepada Allah S.W.T.
- Menjauhi dari bersendirian dalam tempoh masa yang panjang, yang dapat member kelebihan kepada Syaitan untuk menghasut melakukan maksiat.
- Menyibukkan diri dengan perkara-perkaralain seperti bermesra atau melakukan sebarang aktiviti dengan anak-anak.
- Dan perkara-perkara lain yang anda rasakan dapat menjauhkan diri dari melakukan maksiat kepada Allah S.W.T.
Di akhir ini, kami ingin menegaskan, sekiranya seseorang isteri atau sesiapa sahaja yang terlanjur melakukan onani atau maksiat lainnya: “Sesungguhnya kita memiliki Allah S.W.T., tuhan yang mahu dan suka mengampunkan dosa kita semuanya, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat Nasuha dan pohonlah kepadanya agar ditunjukkan jalan penyelesaian ke atas setiap permasaalahan kita.”
Wallahu a’lam. bs.
_______
via
Here
_______